Sabtu, 23 Oktober 2010

Kekejaman Komunis

Kemaluannya disumbat ke mulut...

Tragedi yang berlaku merupakan serangan hendap paling ngeri berlaku ketika operasi di hutan Jelondong, Jelebu. Kejadian yang berlaku pada 16 April 1951 di hutan tersebut, jelas mempamerkan sikap kejam, keperongosan dan kebiadapan keterlaluan militan komunis cina terhadap mayat 7 orang Askar Melayu, selepas mereka semua dibunuh. Mangsa yang terkorban dicincang lumat, sehingga tidak dapat dikenalpasti identiti mereka, hinggakan kesemuanya terpaksa dikebumikan di tempat kejadian. Hanya sekitar 1980an, barulah kubur kesemua mangsa dipindahkan ke makam pahlawan Askar Melayu, Port Dickson.

Menerusi buku "Askar Melayu 50 Tahun", Tan Sri Abdul Samad Idris cuba menggambarkan peristiwa yang berlaku di hutan Jelondong ketika itu;

"...Apabila sampai di sebatang anak sungai, tersepit antara dua bukit, Perajurit Yunus nampak kesan-kesan beras hanyut di dalam air. Ini menunjukkan ada orang bertanak nasi telah membasuh beras di situ. Beliau segera melaporkan perkara itu kepada Leftenan Nayan.

Bagaimanapun Leftenan Nayan mengarahkan 'leading scout' itu mara ke hadapan sedikit. Sebaik saja Perajurit Yunus maju ke hadapan, kira-kira 100 orang pengganas komunis telah melepaskan tembakan. Mereka menggunakan kabain, telah mengepung kedudukan Askar Melayu. Disebabkan musuh terlalu ramai, keadaan menjadi kelam kabut. Leftenan Nayan mengambil keputusan berundur sahaja, tetapi tidak dapat mengumpulkan orang-orangnya secara serentak.

Kira-kira jam 5 petang, Leftenan Nayan berjaya melepaskan diri ke sebelah hilir Kampung Seperi bersama Perajurit Umar yang cedera terkena tembakan pada bahagian punggungnya. Perajurit 5087 Yusuff yang sedang bercuti, terkejut dengan peristiwa yang menimpa rakan platunnya, telah meminta orang-orang kampung di situ memberikan pertolongan. Tuan Haji Shamsuri (ayah kepada Perajurit Yusuff) telah memberikan kain sarung untuk mengusung Perajurit Umar untuk dibawa ke kampung.

Sehingga jam 8.30 malam, 2 orang lagi perajurit berjaya keluar ke kampung menyeberang sawah sampai ke kawasan sekolah di sebelah hulu kampung. Mereka terpaksa bersembunyi di hutan sebelum lari keluar kerana telah diekori oleh komunis. Apabila sampai di kampung, kedudukan mereka selamat (*ini merupakan bukti bahawa penduduk-penduduk di Jelondong tidak pernah bersubahat dengan komunis sebagaimana yang didakwa oleh komunis cina).

Tiga hari kemudian, 2 orang lagi Askar Melayu dapat keluar ke Pekan Titi dalam keadaan cedera. Mereka yang terselamat daripada serangan hendap telah bertempiaran menyelamatkan diri masing-masing. Setelah tiga hari berlalu, barulah diketahui bahawa 10 daripada 17 orang pasukan platun itu telah terselamat, walaupun sebahagian besarnya mengalami kecederaan.

Seminggu kemudian, usaha mencari mereka yang terkorban dimulakan dengan bantuan gerison di Port Dickson. Mayat Askar Melayu seramai 7 orang itu ditemui jauh dari tempat kejadian. Sama ada mereka diheret ke situ oleh komunis, atau ditemui pihak pengganas sewaktu mahu melarikan diri seperti kawan-kawannya yang lain, tidaklah diketahui.

Keadaan mayat yang ditemui itu sangatlah mengerikan. Anggota badannya dipotong pendek atau boleh dikatakan dicincang. Kemaluannya disumbatkan ke dalam mulut; biji mata dicungkil, kulit kepalanya dikoyakkan hingga terdedah tengkorak. Demikianlah kejamnnya komunis dalam kejadian di Hutan Jelondong, Jelebu pada 16 April 1951 itu."

Kekejaman komunis ke atas mangsanya di hutan Jelondong adalah peristiwa pertama seumpamanya berlaku dalam sejarah darurat di negara ini. Justeru Negeri Sembilan ketika itu diwartakan sebagai negeri yang terdedah kepada ancaman komunis paling ganas di zaman darurat. Berikut merupakan senarai mangsa kekejaman serangan hendap komunis di hutan Jelondong:-

1. Koperal 2018 Abdul Hamid (signaller)
2. Perajurit 4576 Ali bin Talib
3. Perajurit 4676 Don bin Dahan
4. Perajurit 4573 Ismail bin Yusuff
5. Perajurit 3711 Mahmud bin Muhammad
6. Perajurit 5487 Abdul Hamid
7. Perajurit 3247 Ahmad bin Kudus

Semoga roh kesemua Askar Melayu yang menjadi mangsa kekejaman komunis, ditempatkan dikalangan orang-orang yang beroleh rahmat Allah swt. Al-Fatihah.


1 ulasan:

  1. salam hormat dari saya. semoga sdr dapat memautkan http://melayurayadaily.blogspot.com tq

    BalasPadam